Baru-baru ini timbul kehangatan dalam soal intipan dan serbuan yang dilakukan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam bagi mematahkan gejala zina, khalwat dan yang berkaitan dengannya.
Hasil tinjauan saya, agak banyak juga kritikan dari pelbagai pihak terhadap kedua-dua pihak yang terlibat. Di ruangan peribadi saya ini, saya tergerak untuk turut serta memberikan pandangan berdasarkan kafahaman dan penilaian kepada pandangan, hujjah dan perdebatan yang diberikan setelah diasak dengan puluhan soalan yang sama dari pelbagai pihak kepada saya melalui SMS, web site peribadi, email dan yahoogroup saya. Bagaimanapaun saya tidak sesekali menganggap tulisan ini akan mampu memuaskan hati kedua-dua belah pihak (samada JAKIM mahupun pihak Sohibul Samahah Mufti Perlis dan yang bersama kedua-dua mereka).
Pada realitinya, isu ini telah pun ditutup setelah perbincangan sihat di antara S.S Mufti Perlis dan JAKIM membuahkan satu keputusan. Tahniah diucapkan. Benar, tulisan ini boleh dikatakan agak terlewat dari masa yang sepatutnya dikeluarkan jika dilihat dari sudut keperluannya. Bagaimanapun, ia sentiasa relevan bagi pencinta ilmu dan pencari kebenaran. Kerana itu saya utarakan tulisan ini agar ia dapat memberi sedikit input baru (jika ada) kepada para pembaca yang mulia.
SYARAT AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Hal ini saya tidak perlu mengutarakannya dengan panjang, kerana ramai sudah ‘kelihatan' jelas dengan syarat-syarat pelaksanaan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar'. Syarat-syarat ini disebut dengan amat jelas antaranya dari sumber berikut :-
Syarat-syarat ini perlu dipenuhi demi membolehkan dilaksanakan perubahan (taghyir) samada dengan tangan, lisan dan hati sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadith sohih yang cukup popular ( Riwayat Muslim dalam kitab Iman). Tanpa syarat ini, tiada peruntukan dibenarkan oleh Islam untuk melakukan ketiga-tiga tindakan pencegahan tadi. Kesemua syarat-syarat dikeluarkan dari hadith Nabi SAW dan setelah dirujuk kelihatan kesemua syarat yang dikeluarkan oleh para ulama Islam adalah hampir sama, ringkasannya seperti berikut :-
ولا تجسسوا
Ertinya : Janganlah engkau mengintip-ngintip ( Al-Hujurat : 13
Perlu difahami bahawa setiap rumah dan inidividu dijaga hak, kehormatan dan maruahnya oleh Islam berdasarkan hadith yang banyak. Malah dosa peribadi yang dilakukan di rumah adalah antara individu dengan Allah SWT. Antaranya sebuah hadith sohih menyebut:
كل أمتي معافى إلا المجاهرين
Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali yang berterangan-terangan (melakukan maksiat tanpa malu dan takut)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda :
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]
Juga sebuah kisah yang popular berkenaan tindakan Sayyiidna Umar r.a iaitu :-
عبد الرحمن ابن عوف أنه حرس ليلة مع عمر بن الخطاب, فبينا هم يمشون شب لهم سراج في بيت, فانطلقوا يؤمونه حتى إذا دنوا منه إذا باب مجاف على قوم لهم فيه أصوات مرتفعة ولغط. فقال عمر وأخذ بيد عبد الرحمن: أتدري بيت من هذا؟ قال: قلت: لا. قال: هو ربيعة بن أمية بن خلف وهم الآن شرب فما ترى؟ قال عبد الرحمن: أرى قد أتينا ما نهانا الله عنه نهانا الله فقال: ((ولا تجسسوا)) فقد تجسسنا. فانصرف عنهم عمر وتركهم.
(Daripada) ‘Abd al-Rahman bin Auf radhiallahu 'anh bahawasanya beliau pernah berjaga malam bersama ‘Umar bin al-Khattab. Tatkala mereka sedang mengelilingi kampung, mereka melihat sebuah lampu yang sedang menyala dari rumah, maka mereka menghampiri rumah tersebut. Ketika mereka menghampiri, mereka dapati pintu rumah tersebut terbuka tanpa seorang pun di sana, sedangkan dari dalam rumah terdengar suara yang sangat kuat. Berkata ‘Umar sambil memegang tangan ‘Abd al-Rahman: "Tahukah kamu rumah siapa ini?"
‘Abd al-Rahman menjawab: "Tidak." ‘Umar berkata: "Ini adalah rumah Rubi‘ah bin Umayyah bin Khalaf, saat ini mereka sedang minum arak, bagaimana pendapat mu?"
‘Abdul Rahman berkata: "Aku fikir, kita sekarang ini telah mengejar sesuatu yang dilarang oleh Allah. Bukankah Allah telah berfirman: "...dan janganlah kamu mengintip ..." dan kita telah mengintip mereka. Setelah mendengar perkataan beliau, Umar pergi dan meninggalkan mereka. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq diteliti oleh Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktabah al-Islami, 10/231, riwayat no: 18943)
ADAKAH PENGECUALIAN DARI LARANGAN PEMERIKSAAN DAN PENGINTIPAN?
Persoalan sekarang adalah; adakah mengintip, menyelidik serta menyerbu premis peribadi dan bilik hotel harus dilakukan?. Jawab ringkasnya; walaupun seseorang tidak dibenarkan mengintip kesalahan dan aurat orang lain, tetapi jika ‘ghalib zhon' (besar kemungkinan) seseorang cuba menyembunyikan sesuatu maksiat atau jenayah yang boleh memudaratkan ramai orang (seperti yang melibatkan orang lain, seperti menculik, cubaan membunuh dan sebagainya) tetapi dalam masa yang sama terzahir juga tanda-tanda kejahatan dengan jelas atau berdasarkan laporan yang boleh dipercayai benarnya, maka hukum larangan menyelidik, mengintai dan menyerbu mungkin berubah dari haram kepada harus malah wajib dalam keadaan tertentu berdasarkan tahap maslahat yang disasarkan (Fiqh Ad-Dakwah Ila Allah, Syeikh Abd Rahman Hassan Al-Habannakah, 2/242 dengan pindaan dan tambahan). Antara bentuk yang boleh mengharuskannya adalah seperti :-
Maka dalam keadaan di atas, adalah HARUS untuk meninjau dan memeriksa, sebagai mengambil hazar (jalan hati-hati) dari terlewat bertindak sehingga berlakunya maksiat atau jenayah. Malah HARUS juga untuk MENGETUK, memeriksa rumah dan bilik hotel seseorang jika terdapat laporan yang boleh dipercayai tentang ia melakukan jenayah atau maksiat di dalamnya terutamanya apabila terzahir sehingga keluar bunyi jeritan minta tolong, bauan arak yang haram dan sepertinya (Rujuk Al-Ahkam Al-Sultaniyah, hlm 218 ; At-Tasryi' Al-Jina'ie, 1/504 dengan sedikit tambahan dan pindaan ; Asna Al-Matalib, 4/180 ; Ihya Ulumiddin, 5/36)
TATACARA YANG PERLU DIPERBETUL
Apa yang diperlukan kini adalah ketertiban adab dan tatacara si penyelidik atau penyerbu. Bagi kes serbuan bilik hotel sebagai contoh, terdapat kemungkinan penghuni bilik itu adalah suami isteri. Terdapat kemungkinan besar pula mereka tidak membawa sijil nikah bersama. Justeru, pegawai penguatkuasa perlu berhati-hati agar mereka tidak bertindak dengan nafsu seronok hingga boleh mengaibkan orang serta menjaga adab sebagai wakil kepada Jabatan dan penguatkuasa agama. Untuk itu, perlu bertanya terlebih dahulu, memberi ruang kepada wanita di dalam bilik tersebut untuk berpakaian lengkap sebelum mengajukan pelbagai soalan.
Kerana itu, adalah penting bertindak berdasarkan laporan dan tidak sewajarnya di'serang' semua bilik hotel setiap kali serbuan dibuat. Dalam kes serbuan bilik hotel, antara contoh adab dan tertib yang terlintas di fikiran saya, yang perlu dipastikan oleh Jabatan Agama dan penguatkuasa serbuan dan tangkapan adalah seperti berikut :-
Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a:
"Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan."
"Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan."
SEBAB-SEBAB YANG MENJADIKAN INTIPAN, SELIDIKAN BERUBAH HUKUM KEPADA HARUS
Antara sebab yang menjadikan selidikan, serbuan dan intipan ringan bertukar dari haram kepada hukum bersyarat adalah :-
•1) Apabila Terdapat Bukti dan Laporan Berwibawa
Berkenaan keharusan tinjauan, serbuan dan selidikan, kita boleh melihat dari hadith yang disebut sebelum ini, iaitu :-
مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ
Ertinya : "Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami.."
Lafaz ‘menampakkan' dalam hadith ini mempunyai pelbagai bentuk dan cara, antaranya dengan cara (At-Tasyri' Al-Jinaie Al-Islami, 1/504-505 dengan tambahan) :-
Apabila terdapat tanda-tanda seperti ini dalam kes khalwat di hotel dan lainnya, serbuan dan penyelidikan adalah HARUS dilaksanakan, tetapi sebagaimana yang disebut tadi, ianya mestilah dilaksanakan dengan hemah dan adab. Untuk itu, Jabatan Agama perlulah menyediakan ‘guideline' dan kursus bagi penguatkausa ini agar mereka lebih berilmu.
Saya pernah membaca beberapa kali di akhbar, penguatkuasa sukarela penangkapan khalwat yang menyeleweng sehingga ada yang mencabul kehormatan wanita yang ditangkapnya. Inilah akibat apabila operasi ini tidak ditangani dengan terancang.
2) Dilakukan Atas Dasar Siyasah Syari'yyah oleh Pemerintah
Imam As-Syafie r.h berkata : " Tiada Siyasah kecuali yang bertepatan dengan kehendak Shariah" ( Turuq Hukmiyah, Ibn Qayyim, hlm 41, cet Al Maktab al-Islami). Kita perlu memahami bahawa di dalam memahami dalil-dalil al-Quran dan hadith berkenaan larangan intipan. Hak dan harta peribadi seseorang boleh dicerobohi oleh pemerintah Muslim apabila disasarkan tindakan itu kepada satu maslahat yang lebih umum dan luas. Bagaimanapun, sebagaimana di sebut tadi, ia mestilah dilakukan dengan adab menurut garis panduan tertentu.
Dalam hal menyerbu bilik-bilik hotel, saya berpandangan ianya HARUS dilakukan terutamanya apabila mendapat laporan yang diyakini benarnya. Manakala DI KETIKA tiada terdapat laporan, serbuan juga boleh menjadi HARUS untuk dilakukan demi mencapai salah satu di antara Maqasid Shariah, iaitu menjaga keturunan dan menjaga maruah umat Islam. Antara objektif Shariah dalam mengaharamkan perbuatan zina adalah kerana ianya boleh mencarik silsilah keturunan umat manusia, menyebabkan hubungan ketrunan terancam, selain itu zina dan khalwat boleh menyebabkan maruah tercarik, berlakunya tuduhan zina tanpa saksi yang cukup dan sebagianya. Untuk itu, menjadi satu tujuan yang sohih untuk mencari jalan agar selruh kemungkinan yang boleh membawa kepada zina di tutup sekadar kemampuan yang ada. Ia dinamakan ‘Sadd Zari'atu az-Zina' (menutup peluang zina) di bilik hotel yang urufnya sarang maksiat. Ia berbeza dengan serbuan di rumah yang jarang tidak sepatutnya di lakukan kecuali apabila terdapat laporan yang benar-benar dipercayai. Perlu difahami akan bezanya intipan di rumah dan intipan di hotel dan tasik di malam hari.
Umum mengetahui bahawa hotel kerap kali dijadikan tempat maksiat oleh pasangan muda mudi, juga tidak terkecuali golongan tua. Disokong pula dengan statistik kekerapan berlakunya maksiat di hotel, bolehlah dikatakan ia sebagai satu tempat yang amat strategik dan kondusif untuk melakukan maksiat. Ini menyebabkan kumpulan ilmuan Islam perlu menilai hukum serbuan di hotel berbanding rumah persendirian dalam konteks semasa.
Selain itu, ia juga berobjektif untuk menyusah dan menimbulkan rasa takut serta bimbang pelaku maksiat untuk bersenang-senang ke hotel bagi melakukan perzinaan, khalwat, culik dan lain-lain aktiviti maksiat atau jenayah.
Bagaimanapun, kekerapan serbuan tanpa laporan ini perlulah rasional dan dipantau agar tidak keterlaluan. Ini bermakna, serbuan beradab tanpa laporan dibuat atas dasar Siyasah Syar'iyyah.
Kefahaman Terhadap Dalil Larangan Intipan
Saya faham bahawa memang jelas dan terang terdapat pelbagai dalil terutamanya dari hadith Nabi SAW yang mengisyaratkan dengan jelas perihal kejinya perbuatan mencari-cari kesalahan dan mengintip. Bagaimanapun, ia masih lagi terbuka kepada ijtihad berubahnya hukum itu dalam keadaan suasana dan zaman tertentu. Kes Sayyidina Umar al-Khattab yang meninjau di dalam rumah Rubi‘ah bin Umayyah adalah dalam situasi yang mungkin berbeza dengan hotel awam di zaman ini. Malah Kefahaman hadith dengan sohih juga mestilah ditinjau dari jenis hadith. Ini kerana berapa banyak jenis hadith yang ‘direct' menyebut sesuatu hukum tetapi ia berbeza aplikasi hukumnya kerana ada di antaranya :-
a- Dibina di atas uruf dan adat di ketika itu, dan boleh berubah menurut keadaan. Sebagaimana hadith laknat Allah SWT atas tindakan "menyambung rambut untuk kecatntikan serta mengubah ciptaan Allah " ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1853 , no 4604). Dalam hal hadith ini terdapat ulama seperti Ibn ‘Asyur yang berijtihad mengatakan : "menurut pandanganku, larangan ini adalah terkesan kepada keadaan (uruf) di zaman Arab silam" (Maqasid As-Shariah al-Islamiyah, hlm 228 ). Dr. Muhammad Abu Laith (penyelia tesis PhD S.S Dr Mohd Asri) pula menyatakan " Terdapat benarnya kata-kata Ibn ‘Asyur dalam hal ini , kerana ulama tidak mengambil hadith tadi dalam bentuk umumnya sehingga berkatalah Ulama Syafie dan Hanbali : HARUS bagi wanita berkahwin untuk menyambung rambut dengan rambut yang bersih bukan kepunyaan manusia apabila mendapat izin suaminya" ( ‘Ulum al-Hadith, Dr Md Laith, hlm 366 ; Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 1/312 naqal dari Laith)
b- Terikat dengan zaman tertentu yang berubah menurut zaman juga. Sebagai contoh hadith yang menyebut tentang timbangan adalah menurut timbangan ahli Mekah dan ‘mikyal' adalah menurut kiraan ahli Madinah. (Riwayat Abu Daud, 3/246 ; Sohih ). Dr Yusof Al-Qaradawi dan Syeikh Mustafa Az-Zarqa dengan terang dan jelas menyebut bahawa hadith ini terikat dengan zaman dan kelebihan kepada timbangan dan kiraan ahli Mekah dan Madinah itu tidak bersifat tetap sehingga hari kiamat tetapi telah berubah kepada kiraan moden yang lebih mudah. (Kayfa Nata'amal Ma'a As-Sunnah, hlm 147 ; Fatawa Az-Zarqa )
c- Dibina atas dasar menutup peluang dosa atau kerburukan dari berlaku; sebagai contoh, hadith larangan Nabi SAW dari menjatuh hukuman bunuh ke atas pelaku sihir yang mensihir Nabi SAW bernama Lubaid Al-‘Asom. Imam Ibn Hajar menyebutkan bahawa Imam Al-Qurtubi berpendapat bahawa pelepasan dari hukuman itu dibuat kerana bimbang jika dijatuhkan hukuman bunuh kepadanya, maka akan menjauhkan orang ramai dari memasuki Islam. ( Fath al-Bari, 1/231 ; rujuk pelbagai contoh lain dalam Ulum AL-Hadith oleh Dr. Md Abu Laith, hlm 373)
d- Dibina atas dasar maslahat tertentu yang berubah menurut zaman ; Sebagai contoh adalah larangan Nabi SAW dari melaksanakan hukuman poting tangan pencuri ketika musim peperangan. ( Riwayat at-Tirmidzi, no 1450 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ). Cuba lihat sedangkan dalil jelas dari Al-Quran mengarahkan hukuman ini dilakukan, tetapi di ‘adjust' waktu pelaksanaannya menurut maslahat. Demikian juga kisah Sayyidina Umar al-Khattab yang mengubah cara Nabi yang biasanya membahagikan hasil kemenangan Islam di Khaybar kepada para pejuang. Dimana Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya tidak mengagihkan tanah Sham, Iraq dan mesir kepada para pejuang, sebaliknya mengekalkannya di tangan tuan tanah dan hanaya mengenakan cukai tanah (Kharraj) sahaja. ( Rujuk al-Mughni, 4/189)
Banyak lagi bentuk hadith yang jelas hukumnya tetapi terdapat aplikasi dan tindakan pengecualian dalam keadaan tertentu, samalah seperti hal mengintip ini, masih terdapat ruang ijtihad untuk membolehkannya di laksanakan oleh pemerintah Muslim di zaman fasadnya umat, wujudnya peluang selesa maksiat di hotel dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan